Ahlan wasahlan diucapkan kepada mahasiswa/wi baru baik dari kalangan mahasiswi qiraat, mahasiswa/wi pengajian Islam dan perubatan di atas kedatangan kalian ke bumi Mansurah ini. Jumlah seramai 62 orang di bawah pengurusan Unit Sambutan Mahasiswa/wi Baru (USMB) ini telah bertandang sejak awal bulan oktober lagi.
Ahlijawatankuasa USMB telah bertungkus lumus sejak awal september lagi bagi melancarkan segala gerak kerja yang dilakukan. Syabas dan tahniah kepada semua pelaksana USMB di atas bantuan dan pertolongan dalam mengurus dan mengendalikan urusan ini dengan sebaiknya. Moga-moga segala pengorbanan masa, wang junaih, buah fikiran dan keringat kalian dapat dibalasi dengan nilai dan ganjaran pahala daripada Allah subahanahuwataala. InsyaAllah.
Pada tahun ini, kedatangan adik-adik baru disambut dengan penuh meriah, paluan kompang dipalu bagi menunjukkan rasa girang dan sukanya kami di sini dengan kedatangan kalian. Semangat baru seolah-olah terpancar dari wajah-wajah kalian memberi sedikit semangat buat kami juga dalam meneruskan pengajian dan pembelajaran di bumi Mansurah ini.
Mansurah pada tahun ini agak mudah dalam menempatkan mahasiswa/wi baru, ini disebabkan jumlah rumah yang semakin berkurang. Beberapa faktor utama yang menyebabkan jumlah ahli di Mansurah ini berkurang antaranya, kepulangan mahasiswa/wi tahun akhir yang sudah tamat pengajian, ketiadaan pelajar-pelajar muadalah ke bumi Mesir, dan kedatangan pelajar-pelajar baru yang agak berkurangan berbanding sesi sebelum ini. Ini adalah antara faktor-faktor yang menyebabkan berkurangnya rumah yang diduduki oleh pelajar-pelajar Malaysia di sini. Namun begitu apabila kita meilhat kepada pelajar perubatan, jumlah mereka meningkat dengan mendadak sehingga dianggarkan hampir lebih 1000 orang pelajar perubatan yang sudah berada di bumi Mansurah ini termasuk pelajar baru.
Ana mengharapkan agar kedatangan mahasiswa/wi baru ini dapat memberi nafas baru buat DPMM bagi meneruskan organisasi Islam ini agar terus utuh dan kukuh khususnya di bumi Mansurah ini. Hari ini kalian melangkah atas nama 'pelajar baru', namun masa akan datang istilah ini akan berubah kepada 'abg/kakak lama'. Ini adalah pusingan yang berlaku di sini. Apapun seawal kedatangan kalian, rancanglah dengan baik apa yang perlu dilakukan untuk kebaikan diri, sahabat-sahabat yang lain serta masyarakat disekeliling. Kekadang kita hanya tahu bagaimana untuk mendidik diri kita sahaja sedang kita lupa sahabat-sahabat kita masih lagi tergapai-gapai dalam arus kehidupan mereka. Masa inilah kita cuba tanamkan sikap bahu membahu antara satu sama lain bagi membantu saudara seakidah dengan kita.
Dari Malaysia datang ke mari,
Datang dengan niat yang suci,
Penuhkan jiwa dengan berbudi,
Agar kelak kita dihormati.
Salam ukhuwah penuh barakah moga ia bertaut selamanya.
Sunday, November 15, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment