Wednesday, November 18, 2009

Antara Dua

Alhamdulillah semalam (17hb Nov 2009) dua program dapat dijalankan. Program pertama adalah program bersama YB Nadzri bin Haji Ismail juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Manjoi yang juga merupakan Pengerusi Yayasan Perak Darul Ridzuan. Setelah selesai program bersama Pengerusi Yayasan Perak, satu program yang cukup memberi kesan telah diadakan iaitu program bersama Sheikh Ashraf Al-Hasanain.

Program Bersama Pengerusi Yayasan Perak

Program bermula sekitar jam 1 petang. Ucapan aluan daripada ana sendiri selaku Pengerusi DPMM seterusnya ucapan daripada YDP Perak us Khairul Asyraf dan terus ke slot bersama Tuan Pengarah Yayasan Perak. Majlis yang dihadiri dalam lingkungan 50-60 orang mahasiswa dari negeri Perak ini telah berlangsung dengan suasana yang baik dan ceria. Pelbagai lontaran cadangan dan persoalan telah dikemukankan kepada YB Nadzri bagi diperbincangkan diperingkat Yayasan Perak dan Kerajaan Negeri Perak sendiri. Alhamdulillah seusai jam 3 petang majlis ramah mesra ini tamat dengan jamuan makan serta sesi fotografi kenang-kenangan bersama YB. Sekitar setengah jam selepas itu, pihak rombongan terus ke tir'ah menuju ke rumah anak mereka untuk menunaikan solat jama' takhir sebelum berangkat ke Dumyat. Inilah sedikit sebanyak gambaran secara ringkas bersama dengan YB Nadzri. Ana mengucapkan ribuan terima kasih di atas kunjungan hormat ke bumi Mansurah ini kepada YB beserta ahli rombongan. Moga-moga setiap pertemuan yang terjalin membibitkan rasa ukhuwah Islamiah yang tidak akan pudar. Serangkap pantun buat tatapan bersama.

Kehidupan dunia hanya sementara,
Akhirat sana kekal selamanya,
Jangan lupa dosa dan pahala,
Dalam meniti arus dunia.


Program Bersama Sheikh Ashraf Hamid Al-Hasanain

Seawal jam 4 petang Sheikh Ashraf bersama rombongan Us Malik dan us Umar dari Negeri Sembilan telah selamat sampai ke bumi Mansurah. Ana bersama Us Zahimi selaku ketua Unit Pengetahuan dan Pendidikan telah menyambut kedatangan sheikh bersama rombongan di Markaz II. Jamuan ringan telah disediakan. Kuih muih arab berserta syai arab menjadi hidangan buat para tetamu. Ketika bersama sheikh di bilik jamuan, terbit kalam-kalam mutiara buat kami semua yang hadir. Kesibukan sheikh tidak menghalang untuk bertandang ke bumi Mansurah. Syukur kepada Allah atas kurniaan ini. Majlis bermula sekitar jam 4:30 petang dengan bacaan burdah oleh Al-Fadhil Us Malik dengan diiringi oleh semua ahli DPMM yang hadir. Setelah selesai kami terus saja solat Maghrib secara berjemaah dengan diimami oleh Sheikh. Setelah selesai solat, majlis yang dinanti-nantikan bermula, kehadiran mula memenuhi dewan PJA. Sekitar jam 5:15 malam Us Kamil selaku pengerusi majlis memulakan ucapan aluan, Sheikh yang berasal dari Aswan merupakan salah seorang Imam Masjid Al-Azhar juga selaku guru yang mengajar Al-Quran dan Tajwid. Sheikh juga merupakan salah seorang anak murid Sheikh Abdul Ghani iaitu salah seorang anak Sheikh Soleh Jaafari yang mengajar di Masjid Sheikh Soleh Jaafari di Kaherah. Inilah serba sedikit latar belakang yang diperkenalkan. Seterusnya, Us Kamil terus saja menjemput Sheikh bagi menyampaikan kalam-kalam mutiara buat semua yang hadir pada malam tersebut. Serba sedikit isi kandungan yang ana ingat antaranya Sheikh membicarakan berkenaan Kepentingan Ilmu dan Kenapa Kita Datang Ke Bumi Mesir ini. Antara perkara menarik yang sudi dikongsikan bersama, "seorang yang banyak ilmunya dan tinggi adabhnya adalah lebih baik daripada mereka yang banyak ilmu tapi buruk/rendah adabnya (akhlak)" kalau pepatah melayu ada sebut "semakin berisi semakin tunduk". Inilah salah satu sifat dan sikap yang perlu ada bagi seorang penuntut ilmu. Nah! hari ini kita lihat sendiri, betapa ramai dikalangan "ustaz-ustaz dan ustzah-ustazah" mampu mengupas kalam-kalam ulama' daripada kitab-kitab namun, amat malam sekali mereka bankrup dalam soal adab mereka. Adab mereka dengan Tuhan mereka, adab mereka dengan Nabi mereka dan adab mereka dengan makhluk-makhluk Allah yang lain. Jesteru, kita yang ada sedikit pengetahuan agama ini tidaklah hanya mengatakan "saya tidak ada ilmu" sehingga satu kerja dakwah pon tidak dijalankan. Maka, katakanlah "hanya ini ilmu yang Allah kurniakan, dengan amanah ilmu ini saya cuba sampaikan kepada semua". Apabila kita meneliti kalam-kalam ulama' mereka tidak mengatakan "saya telah membaca kesemua kitab" namun apa yang terbit dari kalam mereka adalah "apa yang telah saya dan terjumpa dari beberapa kitab ini dan itu.." inilah sikap yang ada pada ulama'-ulama' kita. Moga-moga Allah menjadikan kita daripada kalangan mereka yang diberikan ilmu dan dapat beramal dengan ilmu yang sedikit ini secara konsisten (istiqamah).

Niat juga merupakan isi kandung dalam ucapan Sheikh, soalan diajukan, "Kenapa antum (pelajar azhari) datang ke sini (Mesir)? jawapan "Untuk menuntut ilmu". Jawab sheikh, tidak salah untuk kita taadud (berbilang-bilang niat) sebagai contoh, kita datang untuk menuntut ilmu, untuk belajar, untuk dapat redho Ilahi dan lain-lain. Namun niat harus dibina dengan baik. Soal niat ini juga menjadi perkara utama dalam masalah untuk kita melakukan sesuatu ibadah. Niat yang ikhlas akan membentu ibadah yang sempurna dan baik. Inilah antara kalam-kalam yang sempat diingat oleh akal ana yang lemah ini. Moga-moga Allah memberikan kekuatan dalam kita nak menempuh liku-liku kehidupan sementara ini.

Sekitar jam 6 malam, majlis selesai dengan bacaan burdah sekali lagi oleh Al-Fadhil Us Malik. Setelah itu kami sama-sama solat isyak secara berjemaah. Sebelum pulang sekitar jam 7 malam Sheikh dijamu dengan Nasi Hadaral Maut di Markaz II. Saya amat terharu dengan majlis yang dianjurkan UPEP ini. Moga-moga majlis ini dapat diteruskan untuk masa-masa akan datang. Amin...

Inilah dua program yang berlangsung dalam masa satu hari yang sempat ana hadir. Namun ianya amat berbeza sekali. Berada dengan "tokoh politik" dan "tokoh ilmuan" adalah jauh berbeza sekali. Namun keduanya tidak harus dicerai-ceraikan apatah lagi ditolak terus.

Kekadang kita merasakan kita telah sempurna,
Namun Allah masih memberi ujian bagi menunjukkan kita lemah,
Apakan daya kita hanya selaku makhluk tuhan yang hina,
Namun nilaian taqwa menjadi ukuran bagi penentu di yuamil Qiyamah.

No comments: