Wednesday, July 27, 2011

Ramadhan

Selamat Menyambut Ramadhan buat seluruh umat Islam di dunia.

Beberapa perkara yang boleh di kongsi bersama bagi bulan yang mulia ini.

Ulama terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.

Beliau berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai. Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan perhatian begitu mendalam.

Masalah ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang (furu') dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan, masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh - Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)

Sebagai contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu Ramadhan adalah :-

1) Raih Taqwa : Firman Allah yang mengarahkan kita berusaha meraih taqwa di dalam bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.

2) Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran : Firman Allah yang menyebut bahawa Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu diperhebat.

3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed' : Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai membatalkan zahir puasanya.

4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan Ramadhan Yang 'Confirmed': Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.

Adapun isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang disepakati sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh hadith-hadith yang banyak.

Merokok, keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat ulama membatalkan puasa.

Adapun yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa yang kerap ditanya oleh orang ramai :-

1) Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit, menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.

Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm 215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia telah di pinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90). Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid, 1/247)

2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.

Ia seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung, telinga, mulut dan dubur.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu, maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.

3) Pil elak haid untuk puasa penuh :

Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh melaksanakan pelbagai jenis ibadah.

4) Penyembur gas untuk pesakit lelah :

Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Tidak dinafikan ia satu isu yang amat kerap dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.

Menurut kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap kali semburan. Justeru sudah pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis Fiqh Antarabangsa yang bersidang Juali 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci dalam persidangan akan datang.

Bagaimanapun para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan fatwa tepat kerana Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah, menyebut hukumnya tidak batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md Uqlah, hlm 226)

Namun jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang perut, namun ia adalah satu keperluan buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.

5) Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang asal:

Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, pain killer dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.

Berkenaan suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah : Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercangah dengan hikmah puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit, Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ; Yasalunaka, 5/53 dll ).

Bagaimanapun, suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.

6) Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.

Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di ketika puasa dalah lebih baik.

Ia berdasarkan hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi ; albani ; Sohih).

7) Melakukan Maksiat seperti tidak solat :

Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan Ramdhan. Pahala puasanya pula akan terhapus Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa dan jauh dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan Allah" (Riwayat Ibn Hibban)

8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa

Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal menurut majoriti ulama.

Ia berdasarkan beberapa dalil antaranya :-

كان رسول اللَّهِ يُقَبِّلُ وهو صَائِمٌ وَيُبَاشِرُ وهو صَائِمٌ وَلَكِنَّهُ كان أَمْلَكَ لِإِرْبِهِ

Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib arnaout : Sohih)

Dan satu lagi adalah : -

فجاء شاب فقال أقبل يا رسول الله وأنا صائم قال لا قال فجاء شيخ فقال أقبل وأنا صائم قال نعم قال فنظر بعضنا إلى بعض فقال النبي قد علمت لم نظر بعضكم إلى بعض إن الشيخ يملك نفسه رواه أحمد والطبراني في الكبير وفيه ابن لهيعة وحديثه حسن وفيه كلام

Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama : Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu sama lain, maka nabi berkata :-

"aku tahu apa mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap dhoif)

Al-Qaradawi pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )

Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh membawa kepada persetubuhan di siang hari ramadhan.

9) Wanita tamat haid

Wanita tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit fajar.

Demikian juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)

Dalilnya adalah :-

من لم يُجْمِعْ الصِّيَامَ قبل الْفَجْرِ فلا صِيَامَ له

Ertinya : "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ; Albani : Sohih )

10) Keluar air mazi

Air mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada ia membatalkan puasa atau tidak.?

Zahir dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.

Bagaimanapun mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih cenderung dengan pendapat ini.

11) Keluar air mani tanpa setubuh

Mencium dan menyentuh sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.

Adapun keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi. (Al-Mughni, 4/159)

Manakala mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.

Walau bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam. Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.

Keluar air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu. Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.

12) Menelan air liur dan kahak

Hukum : Ia tidak membatalkan puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/159). Manakala Kahak yang selagi ia belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada had tekak maka tidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah sampai pada mulut, inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak. Ada pendapat yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah kotoran. Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa. Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak membatalkan puasa.

Ramadhan Mubarak Buat Semua Pengunjung zaharuddin.net : Ust Zaharuddin Abd Rahman

13 ) Mandi

Tiada masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas waktu subuh. Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa. Kecuali seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum dan bukan mandi itu sendiri.

14) Berniat berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.

Tindakan sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi. Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya tadi, puasa tidak terbatal.

Justeru, seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk membatalkannya. Imam Ibn Quddamah menolak pandagan yang mengatakan tidak batal kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)

Sekian,

Ramadhan Al-Mubarak dan selamat menjalani ibadah puasa untuk semua pengunjung zaharuddin.net

Zaharuddin Abd Rahman

13 Sept 2007

01 Ramadhan 1428 H

Sumber :

http://www.zaharuddin.net/


Friday, April 30, 2010

Pelajar Qiraat Mansurah - Masalah Yang Sama

أَحَسِبَ النَّاسُ أَن يُتْرَكُوا أَن يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لَا يُفْتَنُونَ(2) وَلَقَدْ فَتَنَّا الَّذِينَ مِن قَبْلِهِمْ فَلَيَعْلَمَنَّ اللَّهُ الَّذِينَ صَدَقُوا وَلَيَعْلَمَنَّ الْكَاذِبِينَ (3) العنكبوت

“Adakah manusia mengira, bahawa mereka akan dibiarkan saja, dengan mengatakan: Kami telah beriman, padahal mereka belum lagi mendapat cubaan?,
Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.
(Surah al-Ankabut, ayat 2-3)

Permasalahan yang berlaku kepada pelajar qiraat Mansurah baru-baru ini amat menyedihkan pelbagai pihak. Bagaimana perasaan mereka sendiri yang berada dalam masalah ini?. Kebiasaannya bagi pelajar tahun satu mereka mempunyai azam yang kuat untuk melanjutkan pelajar di bumi anbiya' ini. Namun, amat menyedihkan apabila diberitakan "nama kamu masih belum muqayyad". Datang dah la ribuan kilometer, meninggalkan mak dan ayah, duit yang entah cukup atau pun tak, kemudian dua tiga hari nak imtihan dapat berita macam ni. Ya Allah Tuhan saja yang tahu perasaan mereka. Moga Allah memberi ketabahan dalam jiwa-jiwa kental mereka.

Masalah lewat menghantar dokumen ke Qita' Maahad di Kaherah merupakan satu masalah saban tahun berlaku, semenjak ana menjadi UPEP dulu lagi (2006/2007) juga perkara ini berlaku bahkan semasa zaman us Adham lagi (2004/2005). Tahun ini masalah yang sama berulang bahkan sangat teruk berbanding tahun-tahun yang lepas. Ana tidak faham apakah masalah sebenar di peringkat JPMK sehingga seolah-olah tidak ada jalan penyelesaian terhadap masalah ini?. Pihak DPM Mansurah dan Shubra telah menyelesaikan kesemua maklumat pelajar-pelajar qiraat sebelum akhir November lagi, namun daripada tarikh penghantaran maklumat-maklumat mereka ke safarah sehingga di saat-saat imtihan (5 BULAN) masih lagi belum selesai . Sibuk sangat ke safarah ni sehingga tidak dapat menyiapkan dengan tempoh yang ana anggap begitu lama (5 BULAN) ?. Wallahua'lam, hanya Allah dan mereka sahaja yang tahu.

Ana mengharapkan sesuatu yang terbaik dapat dibuat oleh pihak berwajib pada masa akan datang. Kalaulah tidak mampu untuk menguruskan sesuatu kerja, jangan bersikap ego untuk mengatakan "Saya perlukan bantuan" bukan mengatakan "kami tidak perlukan bantuan ''kamu'', tenaga kerja kami sudah mencukupi".

Kepada pelajar qiraat baru Mansurah khususnya diharap dapat bersabar dengan ujian yang Allah timpakan. Hadapilah dengan penuh kesabaran dan akal yang waras. Jangan bertindak sendirian di saat genting ini, tumpukan kepada imtihan yang hampir tiba ini dan berikan kepercayaan sepenuhnya kepada pihak pimpinan untuk menguruskan masalah ini dengan usaha dan daya yang ada. Moga Allah memudahkan urusan kita bersama. Dan semoga setiap ujian ini dapat memberi sesuatu yang terbaik buat kita.

Wednesday, April 28, 2010

Kenyataan Rasmi Berhubung Isu Perpindahan Kuliah

Perjumpaan bersama amid telah diadakan bersama beberapa mahasiswa/wi wafidin dari Malaysia, Juzur Qamar dan Turkistan pada 27 April 2010 jam 1:30 petang di pejabat amid kuliah banat. Perjumpaan sekitar 45 minit ini telah memberikan pelbagai input berkenaan pemusatan mahasiswa/wi wafidin di Kaherah.

Apabila diteliti dengan jelas apa yang telah di perbincangkan di muktamar bercanggah dengan apa yang dikemukakan di pihak amid. Antaranya seperti berikut :-

1- Rabitah Alamiah menegaskan bahawa perpindahan mahasiswa/wi ke Kaherah merupakan satu ketetapan yang mesti diikuti oleh mahasiswa/wi wafidin namun, pihak amid menegaskan bahawa ianya masih lagi dikaji dan diperbincangkan di peringkat atasan.

2- Rabitah Alamiah menyatakan perpindahan mahasiswa/wi wafidin akan dilaksanakan pada tahun hadapan namun amid menyatakan bahawa qarar ini masih lagi diperbincangkan dan ianya hanya berdasarkan lisan semata-mata.

3- Rabitah Alamiah memberi jaminan penempatan wafidin yang akan disediakan mencukupi, tetapi amid tidak dapat memberikan kata putus tentang penyediaan sempurna pembinaan tersebut.

4- Rabitah Alamiah menegaskan bahawa mahasiswa/wi wafidin mesti dipindahkan ke Kaherah tetapi Amid menyatakan bahawa ianya bergantung pada maslahat mereka.

Memandangkan qarar ini masih lagi tidak dapat dibentangkan secara bertulis, pihak amid memohon agar semua mahasiswa/wi wafidin tidak tergesa-gesa dalam membuat sesuatu tindakan.

Maklumat tambahan yang kami perolehi adalah seperti berikut :-

1- Tiada perubahan bentuk pengajian yang akan dilaksanakan di Kaherah nanti sama ada pengkhususan kuliah mahupun kenaikan tahun. Perkara ini telah ditegaskan oleh amid sendiri bahawa sistem pengajian di Kaherah sama sahaja seperti di muhafazah.

2- Pengeluaran sijil pula akan dikeluarkan oleh pihak Al-Azhar sendiri tanpa sebarang campur tangan luar.

Kami akan membincangkan dari semasa ke semasa bersama pihak PMRAM Pusat, wakil-wakil negara lain dan Amid-amid kuliah serta mereka yang terlibat bagi mendapatkan penyelesaian terbaik dalam menyelesaikan isu ini.

Harapan kami agar masalah ini tidak diperbesar-besarkan sebelum mendapat penjelasan secara tepat dari pihak yang bertanggungjawab dalam mendepani isu ini. Segala masalah boleh berhubung terus dengan Pengerusi DPMM di talian 0101489131.

Pihak kami juga memohon maaf sekiranya terdapat sebarang pindaan terhadap isu ini disebabkan perubahan maklumat yang kami perolehi.

Semoga kita semua terus berdoa agar diberikan sesuatu yang terbaik dalam menjalani kehidupan di sini. Selamat menghadapi imtihan yang bakal menjelma.


“ KEMANTAPAN FIKRAH, MEMBINA SYAKHSIAH ”


Muhamad Amirul bin Hasim
Pengerusi,
PMRAM cawangan Mansurah sesi 2009/2010.

sumber : blog DPMM

Tuesday, April 27, 2010

Tekini : Masih Dalam Perbincangan

Jam 1 petang tadi satu perjumpaan bersama amid kuliah banat iaitu Dr Jabir Sayid Mubarak telah diadakan. Ana tidak mahu mengulas panjang apa yang telah diperbincangkan namun secara kesimpulannya, perkara ini masih lagi dalam perbincangan dan penelitian daripada peringkat Rais Jamiah Pusat. Pihak amid meminta agar menunggu sehingga qarar secara bertulis sampai.

Namun, untuk menunggu qarar tersebut sampai, kami (wafidin) di peringkat Mansurah akan mengeluarkan surat bagi menjelaskan hal ehwal keadaan mahasiswa/wi wafidin sekiranya dipindahkan ke Kuliah Ulum ini.

InsyaAllah, Perjumpaan bersama lajnah yang telah dibentuk pada hari semalam (26hb Apr 2010) akan dibuat pada malam ini (27hb Apr 2010) selepas isyak di Dewan Persada Jazirah Al-Ward (dewan Mahasiswa/wi Malaysia). Perjumpaan ini lebih tertumpu kepada isi kandung surat yang akan dikeluarkan secara bersama. Surat ini bukanlah di bawah persatuan mahasiswa/wi tetapi ia adalah surat daripada mahasiswa/wi wafidin yang berada di Mansurah. Terima atau tidak surat ini adalah perkara kedua. Insya Allah surat ini akan diserahkan kepada amid pada keesokan hari (rabu-28hb Apr 2010).

Sedikit Ulasan Mengenai Mahasiswi Qiraat.

Pulang saja ke rumah dapat berita " Mahasiswi qiraat tidak dibenarkan menduduki imtihan (peperiksaan) pada hari Khamis ini (Lusa)." Ulasan telah dibuat oleh Penasihat DPMM di blognya (Klick). Untuk urusan qiraat, sebelum ini ana bersama-sama Ustaz Zahimi (Unit Pengetahuan dan Pendidikan) yang menguruskan serba sedikit. Namun pada siang tadi ana meminta Us Adham untuk menggantikan ana bagi berurusan dengan pihak maahad.

Ana terfikir, sekiranya PMRAM membentuk satu komuniti pelaksana untuk menguruskan mahasiswa/wi baru, sebagai contoh USMB. Namun USMB ini tidak digerakkan tentu saja ahli akan menghujum semahunya kepada pimpinan PMRAM dan komuniti ini kerana tidak buat kerja. Namun, urusan kenaikan nama mahasiswa/wi qiraat ini baik di shubro ataupun Mansurah sedia maklum bahawa bidang tugasnya adalah di bawah JPMK. Kita tidak menghujum JPMK dengan kata-kata kesat, namun berbincang dengan cara yang elok dan memberi kerjasama sekiranya diperlukan untuk memudahkan segala urusan . Apa yang kita dapat?, hari ini lihatlah sendiri tidak perlu ana ulas panjang. Ya Allah engkau Maha Melihat maka bantulah kami dan permudahkanlah kami.

Pengharapan Doa

Ana Mengharapkan agar sama-sama kita berdoa agar segala urusan yang kita hadapi pada hari ini dipermudahkan oleh Allah subahanahuwataala.

1- Doakan agar Allah memberi jalan terbaik terhadap isu perpindahan mahasiswa/wi wafidin ke Kaherah.
2- Memudahkan urusan kenaikan nama sahabat-sahabat kita di maahad qiraat dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.
3- Doakan agar terhindar daripada kezaliman dan keburukan baik yang datang daripada manusia ataupun selain manusia.
4- Doakan moga sama-sama dapat menghadapi imtihan dengan sebaiknya dan mendapat kejayaan.

Allahumma Amin...


Wallaua'lam.

Monday, April 26, 2010

Terkini : Sepakat Membantah

Alhamdulillah malam tadi (26hb Apr 2010) sekitar jam 9 malam perjumpaan bersama wakil-wakil wafidin yang berada di Mansurah telah diadakan. Sebanyak 8 buah negara telah sama-sama turun bagi membincangkan perkara ini dan kesemuanya telah membantah sekeras-kerasnya tentang cadangan pemusatan kami ke kaherah.

Timbul percanggahan berkenaan dengan qarar perpindahan ini, ada yang mengatakan ia adalah bagi mahasiswa/wi wafidin yang tidak bertutur dalam bahasa arab dan ada yang mengatakan qarar ini adalah bersifat umum untuk semua mahasiswa/wi wafidin. Apa pun secara kesimpulannya kesemua mereka yang bergelar wafidin harus bersedia dengan kemungkinan-kemnungkinan yang ada.

Satu lajnah telah dibentuk pada perjumpaan tersebut, beberapa keputusan akan diputuskan secara bersama di bawah lajnah ini. InsyaAllah hari ini (27 Apr 2010) perjumpaan bersama amid kuliah banat sahaja akan berlangsung. Amid kuliah lughah dan usuluddin (bain) akan menyusul pada keesokan hari (rabu), insyaAllah. Kita akan menyatakan bantahan , pandangan daripada amid sendiri berkenaan perkara ini dan mengemukakan beberapa persoalan yang masih belum terjawab pada muktamar lepas.

Dalam perbincangan malam tadi, rakan kita daripada Juzu' Qamar Ustaz Abduh menegaskan supaya seluruh muhafazah yang lain perlu menyuarakan bantahan ini sama seperti bantahan yang telah disepakati dalam perjumpaan di Mansurah ini. Sekiranya hanya satu muhafazah sahaja tidak bersetuju sebagai contoh, akan mendatangkan masalah diperingkat jamiah untuk menentukan keputusan.

Satu cadangan juga secara bersama disepakati iaitu, setiap negara perlu menghantar surat bantahan yang akan diserahkan kepada Amid, Rais Jamiah, Rais Wizara' dan Sheikhul Azhar. Ini adalah cadangan, dan diperingkat Mansurah akan menyerahkan kepada Pusat untuk cadangan ini.

Perjumpaan pertama ini telah berakhir sekitar jam 11:30 malam. Sekiranya tidak ada aral melintang, perjumpaan seperti ini akan diadakan lagi dari semasa ke semasa.

Terkini : Perjumpaan Bersama Rakan-rakan Negara Lain

Assalamualaikum,

Alhamdulillah pada pagi tadi (26hb Apr 2010) satu pertemuan telah diadakan bersama pihak kuliah bagi memaklumkan perjumpaan dengan amid pada esok hari. Naib Pengerusi I HEWI telah dapat berjumpa dengan amid kuliah banat , Us Zahimi telah berjumpa dengan wakil kuliah Lughah, dan wakil indonesia telah berjumpa dengan amid kuliah usuludin bagi memaklumkan pertemuan pada esok hari (27hb Apr 2010).

InsyaAllah pada malam ini selepas solat Isyak akan di adakan perjumpaan bersama seluruh kepimpinan dan wakil mahasiswa wafidin yang berada di Mansurah. Beberapa perkara akan diperbincangkan bagi teknikal sebelum bertemu dengan amid kuliah pada keesokan hari. Namun ana tidak dapat pastikan maklum balas daripada wakil indonesia adakah perjumpaan pada hari esok bersama amid kuliah usuluddin diterima atau tidak, adapun Amid kuliah Banat dan Wakil Kuliah Lughah (banin) telah menerima dengan baik.

Sebanyak lebih kurang 12 buah negara akan berkumpul di Dewan Persada Jazirah Al-Ward (dewan mahasiswa/wi Malaysia) bagi membincangkan hal ini. Tindakan susulan akan di maklumkan.

Doakan moga Allah permudahkan urusan kami.

Sunday, April 25, 2010

Hak Mahasiswa Dinafi

يُرِيدُونَ أَن يُطۡفِـُٔواْ نُورَ ٱللَّهِ بِأَفۡوَٲهِهِمۡ وَيَأۡبَى ٱللَّهُ إِلَّآ أَن يُتِمَّ نُورَهُ ۥ وَلَوۡ ڪَرِهَ ٱلۡكَـٰفِرُونَ (٣٢) هُوَ ٱلَّذِىٓ أَرۡسَلَ رَسُولَهُ ۥ بِٱلۡهُدَىٰ وَدِينِ ٱلۡحَقِّ لِيُظۡهِرَهُ ۥ عَلَى ٱلدِّينِ ڪُلِّهِۦ وَلَوۡ ڪَرِهَ ٱلۡمُشۡرِكُونَ (٣٣) التّوبَة


Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut (ucapan-ucapan) mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahayaNya, walaupun orang-orang yang kafir tidak menyukai. Dialah yang telah mengutus RasulNya (dengan membawa) petunjuk (Al-Qur'an) dan agama yang benar untuk dimenangkanNya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrikin tidak menyukai.

[at-taubah- ayat 32-33]

Semalam (24hb Apr 2010) telah berlangsung satu muktamar wafidin yang dianjurkan oleh Rabitah Alamiah Likhirrijil Al-Azhar.

Tujuan mutkamar yang diadakan ini pada awalnya tidak begitu jelas apakah motif dikumpulkan seluruh mahasiswa/wi wafidin kerana di setiap ucapan wakil-wakil kehormat yang hadir hanyalah berkisar ucapan taujihat bagi menyemarakkan lagi semangat belajar bagi setiap mahasiswa/wi wafidin.

Setelah masa berlalu, pengerusi majlis menyatakan bahawa segala permasalahan berkenaan pengkuliahan bolehlah diajukan kepada pihak kuliah bagi memudahkan urusan bersama. Kami masih terpinga-pinga dengan apa tujuan sebenar muktamar ini. Kerana sebelum ini pihak amid kuliah meminta untuk dipersoalkan berkenaan perpindahan seluruh pelajar wafidin ke Kaherah.

Sekitar jam 1 petang, rais syuun wafidin daripada kaherah barulah menyatakan tentang perkara tersebut (perpindahan pelajar wafidin ke kaherah). Perbincangan dimulakan dengan meminta beberapa wakil mahasiswa/wi wafidin untuk melontarkan pandangan dan persoalan. Wakil daripada Juzul Qamar seramai 2 orang dan daripada Malaysia seorang. Walaupun ramai lagi yang mahu berucap tetapi tidak dibenarkan.

Apa yang ana dapat simpulkan hasil daripada pandangan dan persoalan yang diajukan, pihak Rabitah Alamiah tidak dapat menjawab persoalan dan mengemukakan jawapan dengan baik. Semua perkara adalah "InsyaAllah". Lebih kurang jawapan UMNO di Malaysia. Apabila ditanya berkenaan penempatan kami bagaimana?. Mudah jawapannya, insyaAllah kami akan sediakan. Berkenaan kos sara hidup yang tinggi?. "InsyaAllah akan diajukan kepada pusat bagi memudahkan". Ana begitu pelik, adakah mereka ini sebenarnya bersedia atau tidak menerima kami di kaherah? atau ada agenda lain yang seolah-olah memaksa kami mengikut arahan. Walaupun kami sebulat suara tidak bersetuju, namun paksaan tetap dikenakan bagi menerima juga cadangan ini. Adilkah?.

Ana sedang meneliti dan mengkaji berkenaan kuliah yang akan ditempatkan seluruh mahasiswa/wi wafidin di kaherah. Kuliah yang dinamakan Kuliah Ulum Islamiyah merupakan kuliah yang dikatakan kami akan dipusatkan. Namun apa yang kami perbincangkan sebelum ini, kuliah tersebut amat-amat bermasalah, dari segi kos yuran USD 1000/tahun, terikat dengan aktiviti-aktiviti jamiah, tiada dalam senarai pengiktarafan Lembaga Akreditasi Negara, percampuran antara ikhwah dan akhwat dan lain-lain lagi.

Setelah selesai muktamar yang dijalan sahabat-sahabat di cawangan-cawangan dan pusat PMRAM menelefon ana bagi mendapatkan maklumat berkenaan muktamar yang telah dijalankan. Ana mengucapkan terima kasih kepada mereka semua. Namun, ana masih ternanti-nanti bilakah panggilan daripada JPMK akan menyusul?. Adakah laungan kebajikan mereka hanya sekadar laungan semata-mata?. Atau mereka bertepuk tangan kerana inilah sebenarnya yang mereka nanti-nantikan?. Wallahu a'lam.

Walau apa pun ana tetap cuba bersama rakan-rakan negara yang lain serta sahabat-sahabat seperjuangan di dalam PMRAM untuk sedaya mungkin menyelesaikan dalam membantah perpindahan ini. Moga Allah memudahkan urusan kami.

Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam memberi pandangan dan buah fikiran secara rasmi atau tidak rasmi. Juga terima kasih kepada mereka-mereka yang membantu dan memberi sokongan dari pelbagai sudut yang lain. Ana mengharapkan agar kita dapat sama-sama bedoa dan bangun bagi mengagalkan usaha-usaha untuk menafikan hak-hak mahasiswa/wi di bumi anbiya' ini.